Tuesday, March 3, 2015

[Puisi] Menyusur Musim - Lim Swee Tin


Lim Swee Tin, Menyusur Musim, 
Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, 1991.
ISBN 983-62-2309-6
Malay poetry. 62 ms.
899.231

Monday, March 2, 2015

[Puisi] Lim Swee Tin


Lim Swee Tin dilahirkan pada 26 September 1952 di Bachok, Kelantan.

Selepas menamatkan pendidikan menengah beliau mengikuti kursus di Maktab Perguruan Pulau Pinang dan terus bertugas sebagi pendidik di Sekolah Menengah Hamzah, Machang, Kelantan.

Bidang penulisan yang diceburi ialah puisi, cerpen dan esei-esei sastera dan budaya.

Karyanya banyak termuat dalam beberapa buah akhbar dan majalah terkenal di tanahair, juga dalam beberapa buah antologi bersama.

Diantara bukunya ialah Eva (1981), dan Akrab memenangi hadiah penghargaan Anugerah Puisi Putra II (1983).

Beliau juga merupakan pemenang Hadiah Penghargaan Penulis Bukan Melayu Terbaik dalam sayembara Cerpen Esso-Gapena III dan VI dengan judul cerpen "Tapah" dan "Gok". Beliau telah beberapa kali menerima Hadiah Sastera Malaysia iaitu 1982/1983, 1986/1987 dan 1988/1989.
Selain daripada itu, beliau juga merupakan penerima SEA Award 2000.

Pisau
 
pisau terhunus di mana-mana
aku tak takut lagi kepada pisau
luka telah mengajarku erti darah
erti tusuk dan kalaupun ada ngeri
telah berbeza makna kengerian itu.

 
dibaringkan pisau ditelentangkan pisau
sudah kukenal arah siatnya
kulit dan daging yang terkopak
bagaimana mendiamkan raung menenangkan dendam
kukenallah sudah
 
datanglah seratus pisau seribu pisau
tak mungkin akan berpaling lagi
risau telah tumpul bahkan semakin lunak
telah juga kutemui makna kelunakan itu.

.



Sunday, February 15, 2015

[Puisi] Kau Pasti Terbangun - Rosli K. Matari

Kau Pasti Terbangun 

Maut telah sampai
tetapi tidak terus mengetuk
pintu kamar.

Ia berhenti di luar
sambil melhat-lihat
alamat rumahmu.

Melihat ufuk waktu
semakin bertompok kelam
pohon-pohon di ujung malam
meluruhkan daun-daun tua.

Angin basah membawa bau tanah
tetapi tidak masuk ke dalam kamar
kaca jendela itu sejak dulu
menjagamu dengan baik
daripada dingin malam.

Tidak pernah tercium olehmu
bau tanah itu.

Maut masih mundar-mandir
di pekarangan
sesekali menjenguk
dari luar kaca jendela
mendengar dengkurmu
masih menimbang lena dan mimpi.

Sebentar lagi
ia akan mengetuk pintu
dan kau pasti terbangun.

1987

Monday, February 9, 2015

[Puisi] Tanpa Judul - Rosli K. Matari

Tanpa Judul - Rosli K. Matari


Ada saat-saat malam diulangkan kembali
tanpa bintang-gemintang dan bulan
tercatat di angkasa.

Dalam kelam
kau harus mengingati kembali
jarak belukar, jejak di paya
rumbun buluh, ilalang
bahkan jalan terpencil
menuju ke tanah makam.

Daun-daun tua
seakan luruh dalam jiwamu
punggur
seakan hatimu yang sepi
ilalang
seakan tumbuh dalam mimpi.

Bunyi sungai
mengalir dalam jiwamu
tapi harus kau biarkan
mencari jeram.

Angin melintas
menyergap daun-daun tua
mengingatkan tanah sedang menunggunya.

Di kejauhan
api pelita mengerdip kecil
menembus gulita
seakan mantera
menghembus rahsia dan makna.

1977

Monday, February 2, 2015

[Puisi] Rosli K. Matari

Rosli K. Matari pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1988/1989, hadiah utama dalam Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank 1990, 1991, 1992, 1993, dan hadiah penghargaan pada tahun 1995, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/1997, hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - ExxonMobil 2011, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011, serta hadiah Penghargaan Karyawan Kelantan 2013.

Aku tidak ingat kali bila pertama aku membaca puisi beliau. Boleh jadi di dalam Dewan Sastera pada 1993 atau 1994. Boleh jadi sajak Bayang dan Songsang di bawah ini termuat dalam isu Dewan Sastera tersebut.

Ada beberapa blog dan laman maya yang merakam karya-karya beliau. Antaranya :

http://sajaksajakdaun.blogspot.my/
http://kilausetitiksinar.blogspot.my/
https://www.goodreads.com/author/quotes/4187902.Rosli_K_Matari

Foto berikut ini, jikalau tak salah saya, termuat dalam isu Dewan Sastera tersebut.
(foto diambil dari blog http://sajaksajakdaun.blogspot.my/)




Foto berikutnya, adalah beliau setelah lebih berusia.
(daripada blog http://shapiaimohdramly.blogspot.my/2009/10/kilau-setitik-sinar-rosli-k-matari.html)




Bayang dan Songsang  - ( Rosli K. Matari )


I
Apakah kerana aku hanya bayang susukmu
maka kita harus berpisah setiap hujung senja?
Sedang kaukekal lama sebagai songsang di situ.
Aku menjelma antara ada dan tiada keranamu.
Apakah aku tidak boleh kekal lama di sini?

II
Kaukira aku dan matahari si tua bangka itu
yang menciptamu?
Selepas ini aku mungkin tinggal tunggul.
Bayangmu akan menjadi lebih pendek lagi.
Kalau Tuhan mencabutku hingga tidak bersisa lagi,
apakah kau boleh ketemu aku semula?

1978

[Puisi] Bayang dan Songsang - Rosli K Matari


Bayang dan Songsang  - ( Rosli K. Matari )


I
Apakah kerana aku hanya bayang susukmu
maka kita harus berpisah setiap hujung senja?
Sedang kaukekal lama sebagai songsang di situ.
Aku menjelma antara ada dan tiada keranamu.
Apakah aku tidak boleh kekal lama di sini?

II
Kaukira aku dan matahari si tua bangka itu
yang menciptamu?
Selepas ini aku mungkin tinggal tunggul.
Bayangmu akan menjadi lebih pendek lagi.
Kalau Tuhan mencabutku hingga tidak bersisa lagi,
apakah kau boleh ketemu aku semula?

1978

Monday, January 26, 2015

[Puisi] Terbang merpatiku terbang

tidak ingat dari mana aku mendapatinya, boleh jadi rekaanku sendiri?

"terbang merpatiku terbang
terbang ke benua seberang
bawa cerita lukaku yang hitam
darah dari luka seribu liang."