Thursday, May 19, 2016

Long Minah

aku mendapat berita semalam bahawa Long Minah telah meninggal dunia.
Lebih kurang pada pukul 7pm di Hospital Taiping.
Long Minah ni anak Anjang.
Anjang atau Tok Anjang adalah kakak kepada nenekku sebelah ibu.
Aku selalu ke rumahnya semasa kecil dahulu untuk membaca komik.
Di sebelah rumahnya dahulu ada sebuh kedai runcit kecil.
Aku selalu membeli biskut Marie berharga sepuluh sen dari kedai tersebut, dan menikmatinya sambil membaca komik di rumah Long Minah.
Pada masa itu, sepuluh sen mampu ditukar dengan  beberapa keping biskut Marie.

Anak-anaknya ada 7 orang dalam ingatanku;
Miskiah
Jamal
Helmi
Ishak
Jalal
Naeme
Alias



Monday, May 16, 2016

Hari Guru 2016

Selamat Menyambut Hari Guru kepada Guru-guru Malaysia!
Juga kepada insan yang tidak menjawat jawatan guru tetapi mengajarkan juga ilmu kepada orang lain, atau kepada makhluk lain.

Ada insan-insan yang bertugas mengajarkan monyet -monyet kaedah memetik kelapa muda, ada juga insan-insan yang mengajarkan anjing-anjing kaedah mengesan dadah.

Dan ada juga insan-insan yang mengajarkan makhluk jin dan bunian kaedah bersilat dan juga ilmu agama.

Pada tahun ini, ada sedikit kelainan kerana aku menerima satu lagu yang agak nostalgik, iaitu lagu berjudul "Di Sekolah Hari Ini" yang didendangkan oleh Pak Ku Shadat.

https://www.youtube.com/watch?v=iAMmqL_tE6Y

Ooohh.. berjumpak guru bagi salam
walau siang juga malam
Ooohh.. berjumpak guru bagi salam
walau siang juga malam

Apa yang guru ajar
mesti ambil faham
jangan berpecah-belah sama-sama Islam

Apa yang guru ajar
mesti ambil faham
jangan berpecah-belah sama-sama Islam

Ooohh..Cikgu ajar banyak ilmu
supaya murid boleh tahu
Ooohh..Cikgu ajar banyak ilmu
supaya murid boleh tahu

Jangan lawan guru
guru mengajar ilmu
Jikalau takdak guru
apa satu kita tak tau

Jangan lawan guru
guru mengajar ilmu
Jikalau takdak guru
apa satu kita tak tau


Ooohh.. dalam sekolah jangan nakai
cikgu ajar nak bagi pandai
Ooohh.. dalam sekolah jangan nakai
cikgu ajar nak bagi pandai

Jangan buat pasai
nanti kena tibai
sudah kena denda
baru menyesai

Jangan buat nakai
nanti kena tibai
sudah kena denda baru kita nak menyesai

Ooohh.. denda murid patut padan
jangan sampai rosak badan
Ooohh.. denda murid patut padan
jangan sampai rosak badan

Bila rosak badan
sekolah tak boleh pergi
segala pelajaran
dia jugak yang rugi

Jangan rosak badan
sekolah tak boleh pergi
segala pelajaran
dia jugak yang rugi

Ooohh...Jangan pura-pura tak kenal cikgu
lepas sekolah pukul satu
Ooohh...Jangan pura-pura tak kenal cikgu
lepas sekolah pukul satu

Dengan usaha guru
kita dapat ilmu
jika takdak guru
apa satu kita tak tau

hawaq satu malam
kenalah baca buku
apa yang tak paham
kena tanyalah cikgu

Ooohh... hari-hari pergi sekolah
sekolah tinggi sekolah rendah
Ooohh... hari-hari pergi sekolah
sekolah tinggi sekolah rendah

Jangan buat salah
nanti cikgu marah
jikalau kena denda
kita juga yang susah

Jangan buat salah
nanti cikgu marah
bila kena denda
kita juga yang susah

Ooohh ..ada sikit guru denda
ibu-bapa tak boleh campur
Ooohh ..ada sikit guru denda
ibu-bapa tak boleh campur

Guru nak bagi baik
mesti diajar tegur
waktu masuk sekolah
disusun atur

Guru nak bagi baik
mesti ajar tegur
waktu masuk mengajar
mesti ada cekang kendur.


Lagu ini sebenarnya telah aku lupakan. Lagu yang masih ada dalam ingatanku ialah Vespa Hj Samad. Lagu lain seperti seperti kisah pemerintahan jepun dan proton saga juga masih ada dalam ingatan.

Boleh jadi kali pertama aku mendengar lagu-lagu beliau ialah pada 1988 atau 1989. Pada masa itu ia dijual dalam bentuk kaset.

Selepas itu aku sudah tidak berapa mendengar lagi lagu-lagu beliau dikumandangkan.

Daripada blog Omar M Hashim, baharulah aku mnegetahui bahawa pak Ku Shadat telah meninggal dunia pada 1 Disember 2008.

Omar M. Hashim dahulunya cuba mengesan Pak Ku Shadat yang telah menyepikan diri dari dunia nyanyian, seperti yang dicatatkan dalam blog beliau;

http://mamutanjung.blogspot.my/2008/12/pak-ku-shadat-tokoh-lagu-rakyat-utara.html

"Al-Fatihah! Hari ini 1 Disember 2008, saya dimaklumkan oleh rakan dari Alor Star, Kedah DJ Chot dia mendengar hebahan radio Perlis FM berita kematian Pak Ku Shadat, seorang seniman lagu-lagu rakyat yang tidak asing lagi di Utara. Menurutnya, Pak Ku meninggal dunia pada sebelah pagi dan jenazahnya akan disemadikan di Padang Sera, Kedah, DarulAman.

Ku Nafiah Ku Aman atau lebih dikenali sebagai Pak Ku Shadat mengabdikan diri kepada bidang seni sebagai seorang penglipurlara, dan selokanya sama ada ketika mengadakan persembahan atau melayani tetamu amat menghiburkan.

Kehebatannya termasuk boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Siam, Jepun, Tamil, Cina dan Arab, telah membawa beliau membuat persembahan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia, Australia, Thailand dan Singapura.

Malah, Pak Ku Shadat, 88, pernah merakamkan album bertajuk Gendang Seloka Rakyat yang diterbitkan oleh syarikat Mutiara Records dan sehingga kini albumnya masih lagi kedengaran di kedai muzik dan di majlis kenduri kahwin. Antara lagu seloka yang popular yang dinyanyikan Pak Ku Shadat ialah Vespa Haji Samad, Proton Saga, Petani Moden dan Subsidi Baja.

Gambar ini diambil dalam tahun 2004 di rumah sewanya di tengah sawah Tambun Tulang, Perlis, ketika saya berusaha mencari Pak Ku Shadat yang sudah lama menghilangkan diri. Walaupun dipujuk beberapa kali hendak merakamkan persembahan Allahyarham dalam bentuk vcd, tapi Pak Ku tetap dengan pendiriannya hendak mengundurkan diri di bidang seninya kerana katanya dia kecil hati dengan beberapa orang yang menghina kebolehannya itu.
"Depa kata suara Pak Ku dah tak sedap lagi.. jangan menyanyi lagi...", keluhnya kecewa."


Gambar di atas ialah Pak Ku Shadat (tidak berbaju) bersama Omar M Hashim (dari blog Omar M Hashim).

Gambar di bawah ini aku tidak tahu dapat dari mana, tapi telah lama berada dalam PC ku.


Sekarang ini lagu-lagu Pak Ku Shadat telah banyak diupload ke youtube.
Saudara Cap Kapak ada memuatkan lagu-lagu Pak Ku Shadat di channel beliau di : https://www.youtube.com/watch?v=JFAqCenfYXo&list=PL-5UxFvE0mfPT_-Agyk7lG6YLWSbPGkNC

Antara lagu-lagu Pak Ku Shadat ialah:

1.Vespa Haji Samad
2.Vespa Haji Samad 2
3.Duda Bini Mati
4.Pandang Ke Timur
5.Sekolah Hari Ini
6.Pelita Hati
7.Saham Cepat Kaya
8.Kisah Zaman Jepun
9.Sajak Lawak Jenaka
10.Nikah Tipu
11.How Are You
12.Anak Nak Bela Anak
13.Pi Mai Pi Mai Tang Tu
14.Cerita Kasut
15.Pak Man Telo
16.Proton Saga
17.Subsidi Baja.












Wednesday, May 4, 2016

Kesesatan di Pulau Pinang

Kesesatan yang berlaku di Pulau Pinang.

Saya jarang ke lapangan terbang Pulau Pinang. Sangat jarang. Baru-baru ini, saya perlu ke lapangan terbang Pulau Pinang kerana menyambut dan menghantar tetamu.

Pada sebelah pagi, selepas selesai urusan menyambut tetamu, saya pun pulang. Ada 3 laluan yang masyhur untuk kembali ke Seberang Perai.

Laluan pertama, pada bulatan lapangan terbang, ke kiri pukul 9, kemudian susur ikut Kg Seronok , Permatang Damar Laut, Batu Maung dan ikut jalan pantai (Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu) hingga ke Queensbay.

Laluan kedua, pada bulatan lapangan terbang, terus pukul 12, susuri Jalan Tun Dr Awang melalui PISA dan Bukit Jambul.

Laluan ketiga, pada bulatan lapangan terbang, ambil pukul 12 dan sejurus keluar dari bulatan terus ambil simpang kiri untuk naik ke Jalan Sultan Azlan Shah menyusuri Sg Tiram dan Tokong Ular.


Kebiasaannya ialah saya ambil laluan kedua, tetapi kali ini, saya ingin mencuba laluan ketiga.

Perjalanan adalah baik sehinggalah saya menemui papan tanda menyatakan simpang ke jambatan Pulau Pinang berada 1000m di hadapan.

Saya teruskan perjalanan namun tidak lagi menemui sebarang papan tanda walaupun telah melepasi 1000m.

Nampaknya telah berlaku kesesatan di Pulau Pinang!!

Saya akhirnya sampai ke bulatan RECSAM.
Jalan ini saya biasa lalui.
Ambil pukul 3 dan ikut hingga masuk ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu semula.





Sunday, March 6, 2016

[Puisi] Balada Si Ibu Penyu - Zahari Hasib

Balada Si Ibu Penyu




setelah berhari-hari
dalam pengembaraan yang panjang
maka dari dasar laut maha luas
muncullah ia terdampar
dalam kesunyian sebuah pantai
merangkak dengan amat perlahan dan teliti
supaya tidak diintip orang

dalam tidur nyenyak nelayan kurus
serta letih dibuai mimpi subsidi
rupanya ia terselamat
hanya kerana kesepian laut
dan kicau burung camar saja yang tahu
bahawa ia sedang menetaskan ratusan telur
bersih, putih dan comel

kemudian dengan kakinya
pantas sekali ia mengambus perbendaharaan
lalu jauh di sudut hati
dia pun menyimpan kerinduan amat tulus
untuk pada bulan mana
atau tahun yang mana
ia akan datang sekali lagi sebagai ibu
membelai kemesraan serta kasih sayang
daripada anak-anak yang tentunya sudah dewasa

dan berani bermain dengan ombak
setelah mengucapkan selamat tinggal
dengan amat pilu dan rawan
berjurailah jatuh airmatanya
justeru ia tahu
bertahun-tahun sebelum ini pun
meski begitu sering ia menetaskan
tapi anak-anak tak pernah datang
atau menunggu ketibaannya di pantai

seekor ibu penyu
kini ia kembali
bagi meneruskan kembara ke laut dalam
sama ada:
akan bertemu semula dengan anaknya
atau datang lagi pada tahun depan
sekadar memberi telur percuma
buat nelayan miskin
atau pelancong luar negeri

seekor ibu penyu yang hodoh
akan tetap memberikan budi sepanjang zaman
dan dia tak pernah mengharapkan
terima kasih daripada manusia
yang cantik dan pandai berperang!


Zahari Hasib

Wednesday, March 2, 2016

[INGATAN] Tahajjud

Suatu ketika datang seorang pemuda dan bertanya kepada Imam Hasan Al-Basri rahmatullah alaih:

“Aku telah banyak melakukan maksiat, namun mengapa aku tidak dihukum oleh Allah?”

Imam Hasan Al-Basri rahmatullah alaih bertanya kembali kepada pemuda itu..

“Apakah setiap malam kamu bangun tahajjud?”
.
“Tidak.” ujar pemuda itu..

“Itulah hukuman kamu yang seberat-beratnya.Tiada hukuman yang lebih perit jika Allah Taala telah berpaling darimu.Dia tidak lagi mahu “berbicara” dan “mendengar bicara ” darimu, dibiarkan lena itu panjang padamu.

“Cukuplah Allah Taala menarik nikmat dan kelazatan tahajud dalam dirimu itu sebagai hukuman kepadamu”.



Tuesday, March 1, 2016

[Puisi] Bahasa Laut - Zahari Hasib

Bahasa Laut

ada harinya aku beralun dengan
bahasa ramah, lembut dan tenang
menyamankan sekitar pantai
memberi harapan serta rindu
buat burung camar berkicau dan menyanyi
atau menghiburkan pasangan kekasih
yang sedang asyik bercinta

namun pada hari-hari yang lain
keadaan membentuk laguku menjadi
kasar serta sumbang
lalu kutebarkan gemuruh badai
memecahkan batu dan terumbu karang
membanting kapal dan perahu
maka kuambil nelayan menjadi korban

demikianlah aku sebagai ombak
sering mempunyai bahasa dan rentak
yang tidak terkawal
banyak bergantung pada tingkah laku alam
cuaca serta sentuhan angin

tetapi melalui ungkapan paling mudah
serta dapat difahami oleh semua orang
benarkanlah aku memohon
maaf kepadamu nelayan:
justeru seperti aku memberi ikan sebagai
punca rezekimu
lalu sekaligus aku jugalah
menjadi pangkalan tempat matimu.

Zahari Hasib

[Autisma] Hari Sukan



Hari ini hari sukan.
Dan aku perlu juga ke klinik untuk check kuning (jaundice).

Balik klinik anak berak pula, ajak mandi.
Alang-lang sudah dalam bilik air, maka terus basuh baju sekali.
Pukul 9.50 cikgu telefon mengatakan acara sudah selesai.
Ambil dia depan sekolah, menangis sebab abah lambat dan tidak rakamkan acara lariannya.
Tidak dapat hadiah.

Aku cuba tukarkan kenangan dengan acara makan ABC tetapi kedai belum beroperasi pada jam 10 pagi.

Nasi kandar pun belum sediakan ABC.

Akhirnya makan roti canai sahaja.

Kita mungkin menyangka bahawa anak-anak akan lupakan hal-hal yang kita anggap remeh sahaja. Namun sebenarnya tidak begitu. Mungkin tidak begitu pada kebanyakan hal.