Saturday, February 27, 2016

[Puisi] Seorang Anjing, Seekor Manusia - Zahari Hasib

Pada hari ini, aku tertonton sebuah video Thailand di youtube, " https://www.youtube.com/watch?v=2SMpx-1dV24 ".

Video ini mengingatkan aku kepada sajak Zahari Hasib yang tersiar dalam akhbar pada sekitar 1992-1994 (tarikh sebenar aku tidak ingat. Mungkin Berita Minggu ). Sajak tersebut kemudiannya dimuatkan ke dalam antologi puisi beliau, "Debu di Kaca" yang diterbitkan pada 1995.

Puisi tersebut berjudul," Seorang Anjing, Seekor Manusia".

Seorang Anjing, Seekor Manusia


selalu aku perhatikan
anjing kurus dan kotor itu
melintas lalu di lorong ini
dengan kaki terdengkot
akibat dibaling dengan batu 

hari-hari pun begitulah ia
sering mencari makan dengan
menyelongkar tong-tong sampah
di kawasan tersebut meski ia akan
terus dibaling dan dibaling lagi
dengan batu 

suatu petang ia tiba-tiba
menyalak dengan lebih nyaring
daripada selalu sambil menarik
sebuah bungkusan plastik berdarah,
untuk seketika sekitar lorong
menjadi gempar lalu orang bergegas
mengejarkan seorang bayi
ke hospital 

seekor manusia membuang anak
seorang anjing menyelamatkannya 

pada zaman serba canggih
dan maju ini
anjing
kadang-kadang menjadi lebih baik
daripada manusia!
Zahari Hasib, Debu di Kaca, Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, 1995.
ISBN 983-62-4716-5
Malay poetry. 85 ms.
899.2313


Carian terhadap puisi ini di laman sesawang membawa aku ke;

http://dkelopak.blogspot.my/2012_03_01_archive.html

Maka tahulah aku bahawa Zahari Hasib telahpun kembali ke Rahmatullah pada 26 Februari 2012.
Marilah kita hadiahkan al-Fatihah untuk beliau.

No comments:

Post a Comment