Monday, February 29, 2016

[Puisi] Bahasa Gagak - Zahari Hasib

Bahasa Gagak


bahasa dan siulan gagak
tidak bisa menarik perhatian sesiapa
justeru suaranya tidak merdu
ungkapannya tidak memikat
melodinya tidak indah

kehadirannya di Bandar Diraja Kelang
dan kota kosmopolitan Kuala Lumpur
sekadar mahu mencari makanan serta
sisa kotoran
buangan dari tangan manusia yang
selama ini terkenal dengan madah atau
puisi-puisinya yang lembut manis,
tapi selepas tiga puluh empat tahun merdeka
masih juga belum mengerti bagaimana
hendak membuangkan sampah
ke tempatnya yang betul

bahasa dan nyanyian gagak tidak
manis indah dan harmoni
seperti juga dirinya yang hodoh
kotor dan hitam,
sehingga oleh kerana keburukan diri
ditambah pula oleh bahasanya yang
tidak pernah merdu-merdu maka
di mana-mana ia perlu ditembak
serta dimatikan oleh manusia
yang berwajah cantik, berbahasa halus
dan pandai sekali berperang!

Zahari Hasib
(antologi Debu di Kaca)

Sunday, February 28, 2016

[KELUARGA] Pendaftaran Kelahiran


Berikut adalah senarai dokumen yang perlu dibawa ke Pejabat Pendaftaran untuk mendaftarkan anak, atau dengan kata lain: membuat surat beranak.

1-Borang JPN LM.01 yang lengkap diisi (biasanya diberi oleh hosital tempat bersalin, jika tidak diberi, boleh dapatkan di Pejabat Pendaftaran).
2-Borang Pengesahan Kelahiran (diberi oleh doktor tempat bersalin).

3-kad pengenalan ibu dan bapa (asal dan fotostat)
4-Sijil Perkahwinan (asal dan fotostat)
5-Buku Merah (asal dan fotostat).

Biasanya doktor akan tolong  isikan maklumat isteri dalam borang JPN LM0.1. Jadi, suami hanya perlu isikan sebahagian lagi borang tersebut.

Pada suatu zaman, buku merah hanya perlu fotostat muka surat tertentu sahaja. Selepas zaman tersebut, diminta supaya fotostat keseluruhan buku. Saya tidak pasti apa dasar kementerian sekarang. Sila tanya pegawai bertugas. Kerana malas bertanya, saya fotostat keseluruhan buku.

Bagus jika segala urusan fotostat dibuat awal, iaitu sebelum bertolak ke Pejabat Pendaftaran, melainkan jika anda telah mengambil kira masa yang mungkin terbuang sebelum tiba ke Pejabat Pendaftaran.

Mungkin menurut jangkaan kita, urusan fotostat akan mengambil masa 10 minit sahaja. Kita boleh singgah di kedai tertentu untuk fotostat.

Boleh jadi juga kedi yang kita rancangkan itu tutup pada hari tersebut, atau mesin rosak, dan pelbagai kemungkinan lain. Dan kita mungkin terpaksa ke kedai lain yang lebih jauh. Ini  mungkin melewatkan kita untuk sampai ke Pejabat Pendaftaran, jauh dari rancangan asal.

Boleh jadi kita akan sampai lewat, dan dihalang untuk mengambil nombor kerana barisan telah penuh akibat kita datang pada sebelah petang.

Walaubagaimanapun, saya faham bahawa tidak semua orang memiliki kenderaan mudahalih untuk ke mana-mana. Oleh itu, sila rancang perjalanan anda sebaik mungkin supaya tidak berakhir dengan kekecewaan.

Pejabat Pendaftaran dekat sahaja dengan rumah saya. Boleh berjalan kaki, tetapi mungkin mengambil masa yang lama. Kedai fotostat juga ada di pertengahan jalan.Saya kira , saya akan singgah untuk fotostat. Malangnya kedai tersebut tutup. Saya terpaksa melencong ke kedai lain, di kawasan lain.

Dipendekkan cerita, saya sampai di pejabat pendaftaran pada pukul 3.30 petang.

Anda perlu juga mengambil masa untuk mendapatkan ruang parking.
Saya tidak mendapati ruang kosong, maka saya parkir di belakang sebuah kereta yang baharu sahaja tiba sebelum saya. Saya tinggalkan nombor telefon di wiper, takut-takut beliau selesai lebih awal daripada saya.

Mengambil nombor.

Kembali ke parkir untuk menanti ruang kosong dan ubah kereta.

Masuk semula ke dalam pejabat pendaftaran.
Tidur.
Jaga.
Tidur.
Jaga.
.
.
.

Teringat kepada puisi Wan Ahmad Tajuddin, yang ditulis pada tahun 1982. Masih relevankah?
http://fizik.um.edu.my/wat/lawlai/dpejpdft.html

Di Pejabat Pendaftaran

menunggu
menunggu
menunggu tiga suku jam
Kalau sehari dua puluh dua orang menunggu
habis tiga suku jam dari kerja seseorang
kalau gaji $600
sudah $600 × ¾ × 22 ÷ 30 ÷ 8 = $41.26 kerugian
sudah ¾ × 22 = 16 ½ jam kerja ketinggalan
Duit yang sama itu
boleh bayar gaji
untuk jam kerja yang sama itu
untuk menjawat dua orang pekerja
untuk mempercepatkan lagi
urusan di Pejabat Pendaftaran

Mungkin bagus juga menunggu
supaya hidup tenang, senang
jangan jadi 
rat-race.

Wisma Persekutuan
k.tr. Sept. 82



Urusan saya selesai pada 4.30 petang.

Nampaknya saya tidak kecewa pada petang ini.

[Puisi] Zahari Hasib





Puisi pertama Zahari Hasib berjudul "Hakikat" telah tersiar pada Mei 1969 dalam majalah Pemimpin; walau bagaimanapun beliau telah mula menghantar puisinya ke akhbar-akhbar dan majalah tempatan semenjak 1967.

Antologi puisi beliau berjudul "Debu di Kaca" (1995) adalah yang antologi pertama aku beli.

Sebenarnya dua buah antologi puisi beliau telahpun diterbitkan sebelum ini, iaitu Menyorot Kisah dan Ilham ( KL:Penerbitan Bernas, 1989 ) dan Kuntum Harapan-Kumpulan Puisi Remaja ( KL:Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992 ).

Zahari Hasib menampilkan teknik dan gayanya sendiri yang rasa-rasanya jarang kedapatan pada penyair mapan yang lain. Bahasanya yang seolah-olah bersahaja dan spontan tanpa istilah-istilah bombastik serta metafora yang sukar ditafsir telah memberikan puisi-puisinya suatu kekuatan yang tersendiri. Mesej yang ingin disampaikan oleh beliau dapat dicerna dengan mudah tanpa memerlukan pemerahan fikiran.

Zahari Hasib telah meninggal dunia pada 26 Februari 2012.





Zahari Hasib, Debu di Kaca,
Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, 1995.
ISBN 983-62-4716-5
Malay poetry. 85 ms.
899.2313




    Saturday, February 27, 2016

    [Puisi] Seorang Anjing, Seekor Manusia - Zahari Hasib

    Pada hari ini, aku tertonton sebuah video Thailand di youtube, " https://www.youtube.com/watch?v=2SMpx-1dV24 ".

    Video ini mengingatkan aku kepada sajak Zahari Hasib yang tersiar dalam akhbar pada sekitar 1992-1994 (tarikh sebenar aku tidak ingat. Mungkin Berita Minggu ). Sajak tersebut kemudiannya dimuatkan ke dalam antologi puisi beliau, "Debu di Kaca" yang diterbitkan pada 1995.

    Puisi tersebut berjudul," Seorang Anjing, Seekor Manusia".

    Seorang Anjing, Seekor Manusia


    selalu aku perhatikan
    anjing kurus dan kotor itu
    melintas lalu di lorong ini
    dengan kaki terdengkot
    akibat dibaling dengan batu 

    hari-hari pun begitulah ia
    sering mencari makan dengan
    menyelongkar tong-tong sampah
    di kawasan tersebut meski ia akan
    terus dibaling dan dibaling lagi
    dengan batu 

    suatu petang ia tiba-tiba
    menyalak dengan lebih nyaring
    daripada selalu sambil menarik
    sebuah bungkusan plastik berdarah,
    untuk seketika sekitar lorong
    menjadi gempar lalu orang bergegas
    mengejarkan seorang bayi
    ke hospital 

    seekor manusia membuang anak
    seorang anjing menyelamatkannya 

    pada zaman serba canggih
    dan maju ini
    anjing
    kadang-kadang menjadi lebih baik
    daripada manusia!
    Zahari Hasib, Debu di Kaca, Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, 1995.
    ISBN 983-62-4716-5
    Malay poetry. 85 ms.
    899.2313


    Carian terhadap puisi ini di laman sesawang membawa aku ke;

    http://dkelopak.blogspot.my/2012_03_01_archive.html

    Maka tahulah aku bahawa Zahari Hasib telahpun kembali ke Rahmatullah pada 26 Februari 2012.
    Marilah kita hadiahkan al-Fatihah untuk beliau.