Saturday, April 14, 2018

Sejahtera Malaysia

saya menghadiri satu majlis di sekolah berhampiran rumah saya pada pagi ini. salah satu acara majlis ialah persembahan dari pasukan koir sekolah. lagu yang didendangkan ialah Sejahtera Malaysia.

saya tidak menyangka lagu yang didendangkan oleh Roy ( Mohammed Rauzan Alwi ) masih menjadi pilihan pelajar masa kini untuk dipersembahkan. 

jarang-jarang saya tidak sebak apabila mendengar lagu ini.

saya bersyukur kerana dilahirkan di negara ini, tinggal di negara ini. 

pada masa kecil dahulu, saya selalu menunggu televisyen sehingga tengah malam untuk mendengar lagu ini, kerana lagu ini akan dinyanyikan pada pembukaan dan penutup siaran RTM.


benar, negara ini masih banyak kekurangan dan kepincangan, tetapi itu tidak dapat menafikan kemakmuran negara ini yang pada suatu masa dahulu (fakta ini masih diperdepatkan) digelar Suvarnabhumi ( Bumi Emas ) dan Golden Chersonese (Semenanjung Emas) oleh Claudius Ptolemy. 

Pada masa kini pun, negara ini masih dibanjiri oleh pelbagai jenis manusia daripada pelbagai negara, membuktikan bahawa negara ini masih makmur dan sejahtera seperti tujuh kurun yang lalu.


saya suka cover Sejahtera Malaysia 我挚爱的马来西亚 yang didendangkan oleh Cynthia Chong:

https://www.youtube.com/watch?v=t5y_v-ODwjU

Sung Ha Jung, pemain gitar Korea yang terkenal itu pernah memetik lagu Sejahtera Malaysia di dalam salah satu persembahannya:

https://www.youtube.com/watch?v=FtViB4rNFag


Ibnu Battuta, seorang pengembara (backpackers kata orang masa kini) , menulis mengenai Melaka:

"Seribu liga mata angin, pasti singgah di Melaka".

Nur A'thiroh Masayaa'il Tan, menulis di dalam blognya mengenai pengembara hebat Ibnu Battuta ini:
http://athiroh-ukm.blogspot.my/2008/04/buku-pengembaraan-ibn-battuta-rihalah.html

1.0 Pendahuluan

Ibn Battuta bukanlah seorang ulamak, ahli fikir atau tokoh yang ulung. Sebaliknya beliau ialah seorang penjelajah dunia serta pengembara yang memiliki pengamatan yang tajam selain amat berminat untuk memperhatikan setiap perkara yang aneh dan luar biasa. Beliau juga seorang yang sentiasa memberikan peringatan, yang kuat beribadah, yang sentiasa melakukan kebaikan, yang menjadi kemuliaan agama, yang gemar mengembara, yang sentiasa bergantung perjalanan hidupnya pada Allah SWT. Abu Abdillah Muhammad Ibn Abdillah Ibn Muhammad Ibn Ibrahim al-Lawati al-Tanji yang terkenal dengan gelaran Ibn Battuta. Dalam bidang sejarah, beliau telah mengukir nama melalui Rihalah Ibn Battuta dan karya ini telah mendapat reputasi hebat di kalangan para sejarawan, penyelidik, sarjana-sarjana dan mahasiswa-mahasiswa Islam dan Barat untuk menjadikan sebagai salah satu bahan rujukan sejarah. Walaupun rihalah ini telah berusia hampir tujuh kurun, namun demikian, ia sentiasa mendapat perhatian dan ini jelas membuktikan ia merupakan sebuah karya warisan Islam klasik yang amat istimewa dan sebagai satu sumber pensejarahan Islam. Sumber pensejarahan ini juga membuktikan akan kewujudan seorang pengembara Muslim yang terulung dalam lipatan sejarah. 


2.0 Riwayat Hidup Ibn Battuta


Abu Abdillah Muhammad Ibn Abdillah Ibn Muhammad Ibn Ibrahim al-Lawati al-Tanji iaitu dinisbahkan pada Lawatah, salah sebuah kabilah Barbar. Beliau dikenali ramai sebagai Ibnu Battuta dan diberi gelaran sebagai Syamsuddin di negeri-negeri timur. Manakala tokoh orientalis Dozy, menggelar beliau sebagai Pengemabara Yang Jujur. 

Abu Abdillah Ibn Battuta, lebih dikenali Ibn Battuta telah disanjung sebagai musafir terbesar pada zaman prasejarah. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga sarjana ahli hukum Islam Tangier, Maghribi pada 1304, sewaktu di bawah kekuasaan Dinasti Marinid. Sebagai anak muda yang berminat mempelajari ilmu hukum, beliau meninggalkan kota asalnya pada tahun 1325 untuk menunaikan haji di Mekah yang mengambil masa selama satu setengah tahun perjalanan. Sepanjang perjalanan beliau sempat mengunjungi Afrika Utara, Mesir, Palestin dan Syria. Menurut Ross E. Dunn, Ibn Battuta bukan sahaja sudah mengelilingi wilayah Islam bahagian tengah, tetapi juga jauh mencapai wilayah sempadannya di India, Indonesia, Asia Tengah, Afrika Timur dan Sudan di Afrika Barat. Sejak pertengahan abad ke-19 Ibn Battuta mulai terkenal di kalangan pakar bidang sejarah Islam dan sejarah abad pertengahan selepas catatan dalam bahasa Arabnya, Rihalah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa, termasuk Sepanyol, Itali, Jerman, Rusia, Poland, Hungari, Parsi dan Jepun. Menurut Dunn, Ibn Battuta memang berkelana serta melaporkan tempat-tempat yang jumlahnya jauh lebih banyak daripada yang dikunjungi Marco Polo. Laporannya memberikan perincian, kadangkala dalam peristiwa yang kecil, kadang-kadang dalam bentuk huraian yang panjang - tentang hampir setiap aspek kehidupan manusia yang dapat difahami pada abad tersebut. Dari upacara kerajaan Sultan Delhi hingga kepada adat kebiasaan seksual pada wanita di Kepulauan Maladewa dan sampai kepada pemetik buah kelapa di Semenanjung Arab Selatan diceritakan oleh beliau. 


3.0 Isi Kandungan Rihalah Ibn Battuta


Pada bab awal, penulis menceritakan tentang Tangier, kota di mana Ibn Battuta dilahirkan, dibesarkan serta mendapat pendidikan agama Islam khususnya ilmu hukum. Ibn Battuta memulakan pengembaraan dari Tangier ke Afrika Utara pada tahun 1325 menuju Tlemcen kemudian sampai ke Tunis, seterusnya ke Iskandariyah. Beliau meneruskan perjalanan ke beberapa bandar di Syria sebelum ke Semenanjung Tanah Arab menuju Mekah. Pada tahun 1326, beliau berjaya sampai di Kota Mekah dan melakukan ibadah haji. Ibn Battuta meneruskan perjalanannya ke Parsi dan Iraq. Dalam tempoh setahun beliau telah melakukan perjalanan lebih 4,000 batu dengan mengunjungi kebanyakan kota besar di Parsi dan Iraq, menemui para sarjana, gabenor dan seorang raja Mongol. Ibn Battuta turut mengembara ke Turki dan katanya: ``Negeri yang disebut Bilad al-Rum ini adalah satu di antara wilayah paling baik di dunia; di dalamnya Tuhan telah membawa bersama-sama yang baik, yang disebarkan ke negeri-negeri lainnya. Penduduknya adalah yang paling elok rupanya, paling bersih berpakaian, paling nikmat dalam hal makanan, dan yang paling ramah di antara makhluk Tuhan.'' Dunn turut menceritakan pengalaman Ibn Battuta semasa mengembara dari satu kota ke kota di benua kecil India, kemudian menuju Sri Lanka. Beliau turut singgah di Kepulauan Maladewa yang terletak berhampiran Sri Lanka dan India. Di kepulauan itulah beliau melangsungkan perkahwinan pertamanya dengan seorang perempuan berstatus bangsawan dan membolehkannya menjadi orang yang sangat berkuasa untuk beberapa ketika dan menjawat jawatan hakim. Ibn Battuta pernah sampai ke Asia Tenggara dan pernah singgah di Sumatera, menyusuri Selat Melaka dan kemudiannya singgah di Campa, sebelum sampai di China. Ketika itu, China di bawah pemerintahan Mongol. Beliau memuji China sebagai negeri yang luas dan makmur sekali yang terkenal kerana kualiti sutera dan tembikarnya. Katanya, ``China adalah negeri yang paling aman dan paling sesuai di dunia bagi musafir. Anda dapat mengembara sendirian melalui darat selama sembilan bulan tanpa rasa takut, sekalipun anda membawa kekayaan.'' Beliau mengambil masa selama lapan tahun untuk meneruskan pengembaraannya dari China kembali ke Afrika Utara, Sepanyol dan Afrika Barat. Pengembaraan terakhir beliau ke Mali, beliau menceritakan tentang kisah-kisah bermain-main dengan ular, kisah sifat tawaduk dan kesopanan orang berkulit hitam terhadap sultan dan kisah tentang perbuatan memakan daging manusia dan lain-lain. Ini membolehkannya menimba pelbagai pengalaman menarik seperti yang diceritakan oleh penulis. Selama perjalanannya yang hampir 30 tahun, beliau telah melintasi Dunia Timur hingga ke China, mengunjungi daerah-daerah yang luasnya sama dengan luas 44 buah negara zaman moden, dan merentasi kawasan seluas kira-kira 73,000 batu.

Ringkasnya, beliau telah melakukan tiga siri pengembaraan dan mengambil masa selama 30 tahun untuk menamatkan pengembaraannya. Pengembaraan beliau yang paling lama ialah pengembaraan yang pertama iaitu dari Maghribi hingga China. Selain dari itu, beliau juga telah mengembara ke negeri-negeri yang diketahui pada zamannya seperti Mesir, Syam, Semenanjung Arab, Afrika Timur, Asia Kecil, Rusia Selatan, India, China, Andalus ( Sepanyol ) dan juga negeri orang berkulit hitam iaitu Mali di Afrika Selatan. Ibnu Battuta paling lama menetap di India dan pernah menyandang jawatan sebagai kadi selama dua tahun dan di China selama dua tahun setengah. Beliau terbukti sebagai pengembara yang boleh dipercayai dan sangat jujur. Beliau telah mengelilingi bumi dan merentasi berbagai-bagai destinasi. Dengan yang demikian, pelbagai pengajaran dan pengalaman dapat beliau perolehi dengan amat teliti sekali disamping mengkaji segala perbezaan yang wujud antara manusia selain mempelajari cara hidup orang Arab serta Ajam ( bukan Arab ). 

Buku Rihalah Ibn Bttuta ini mendapat perhatian dalam bidang sejarah. Melalui kitab ini pensejarahan tentang satu pengembaraan Islam dapat dijadikan bukti ilmiah dan dijadikan rujukan kepada masyarakat. Ibn Battuta telah mencatatkan pengalamannya yang dilihat di negeri-negeri yang dilawatinya, peristiwa-peristiwa menarik yang diingati dalam ingatannya. Di samping itu, beliau menceritakan orang yang ditemui, termasuk raja-raja negeri, ulamaknya yang terbilang dan wali-wali yang bertaqwa. Catatan-catatan pengembaraannya dicatat dengan gaya dan cara yang menghiburkan pemikiran dan memudahkan pembaca untuk membaca dan seterusnya memahaminya fakta yang ingin disampaikannya. Segala catatannya merangkumi setiap perkara aneh yang memberikan faedah dan perkara yang menakjubkan menarik perhatian. Catatan-catatannya ini telah dihimpunkan oleh Muhammad Ibn Juzayy al-Kalbi atas arahan Sultan Abu 'Inan. Setiap tajuk yang dicatat oleh Ibn Battuta dalam pengembaraannya dihimpun dalam satu himpunan yang lengkap. Seterusnya Ibn Juzayy al-Kalbi memindahkan penceritaan daripada Ibn Battuta dalam bahasa yang dapat menyampaikan maksud yang dikehendaki oleh beliau dan dapat menerangkan catatan pengalaman pengembaraannya. 

Ibn Juzayy telah mengkodkan lafaz yang diucapkan oleh Ibn Battuta tanpa mengubah asal lafaz tersebut. Ini supaya keaslian kata-katanya dapat dibuktikan. Dalam kitab Rihalah Ibn Battuta ini juga menyatakakn semua kisah dan peristiwa bersejarah yang dilalui. Namun, Ibn Juzayy tidak memastikan kesahihan atau penyelidikan atas kebenaran sesuatu kisah mahupun cerita. Ini kerana Ibn Juzayy berkeyakinan bahawa Ibn Battuta sentiasa bersandarkan kepada kenyataan yang benar dan juga sahih. Oleh yang demikian, untuk mengelakkan berlakunya kemusykilan pada nama-nama tempat dan orang tertentu, Ibn Juzayy telah meletakkan baris selain vokal, supaya ia lebih telus dalam menentukan ketepatan dan ejaan. 

Ibn Juzayy turut menerangkan nama-nama bukan Arab dengan setepat mungkin kerana beliau khuatir akan mengelirukan orang ramai yang menatap kisah yang ada dalam kitab ini. Selain itu, nama-nama bukan Arab bersifat asing dan kaedah perbandingan yang biasa boleh menyebabkan kesilapan dalam menghuraikan kekeliruan tersebut. 

Selepas Ibn Bathuthah meninggal dunia, manuskrip Rihalah ini telah tersebar dikalangan pelajar dan sarjana di Afrika Utara, Afrika Barat, Mesir dan di beberapa buah negara Islam yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantaraan. Karya Rihalah Ibn Battuta hanya mula dikenali di luar negara Islam pada awal kurun ke-19 iaitu apabila dua ilmuwan Jerman menerbitkan secara berasingan beberapa bahagian terjemahan Rihalah daripada manuskrip yang diperoleh di Timur Tengah. 

Terjemahan Rihalah Ibn Battuta ke dalam Bahasa Perancis telah dilakukan oleh C. Defremery dan B.R Sanguinetti dan penerbitannya pada tahun 1853-1858. Semenjak itu, terjemahan Rihalah ini diterbitkan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Sepanyol, Itali, Jerman, Rusia, Poland, Hungary, Parsi dan Jepun. Pada tahun 1929, Sir Hamilton Gibb telah menghasilkan terjemahan berbentuk ringkasan dan beliau berusaha untuk menghasilkan terjemahan Rihalah yang lengkap di bawah naungan Hakluyt Society. Akhirnya, terjemahan itu diterbitkan dalam tiga jilid ( The Travels of Ibn Battuta 1325-1354 , translated with revisions and notes from the Arabic text edited by C. Defremery and B.R Sanguinetti, jilid 1, 1958; jilid 2, 1962 dan jilid 3, 1971: Cambridge University Press ). Namun yang demikian, jilid yang keempat iaitu bahagian yang terakhir Rihalah tidak berjaya diselesaikan penerbitannya. 

Rihalah Ibn Battuta juga mendapat perhatian daripada pihak National Geographic Society yang berpusat di Washington, Amerika. Ini kerana karya ini sarat dengan maklumat geografi. Misalnya, majalah National Geographic telah menerbitkan artikel utama " Ibn Battuta Prince of Travellers " oleh Abercombie pada keluaran November 1991. Ini membuktikan National Geographic mengiktiraf karya Rihalah ini dan bersifat global terhadap usaha pemasyhuran karya ini. Selain itu, ini sebagai satu bukti pengiktirafan dunia barat terhadap hasil usaha pengembaraan Ibn Bathuthah sebagai pengembara Islam hingga dinobatkan sebagai putera ( prince ) pegembara. Abercombie mencatat, " Swayed by an overwhelming impulse, 21 years old Ibn Battuta left Tangier for Mecca in June 1325. Over the next 29 years that impulse carried him to Islamic outposts from Sumatra to Mali and returned him at least four times to the sacred city. His journey totaled 75000 miles – three times the distance logged by his European predecessor, Marco Polo."

Di Malaysia, kehebatan Ibn Bathuthah mendapat perhatian media cetak dan juga media elektronik. Pada tahun 1998, dalam Racangan Jejak Rasul yang masyhur telah menyiarkan kisah beliau dalam episod ke-14 ( Jejak Rasul 3, 1998 ) iaitu ketika kru TV3 membuat liputan penggambaran berhubung dengan Kota Tangiers ( Tanjah ), Morocco. Di mana, Jejak Rasul 3 telah menjejaki makam Ibn Bathuthah yang terletak dihujung lorong Rue Gzenaya di Tangiers. Malah, Jejak Rasul 3 ini juga menyifatkan Ibn Bathuthah sebagai tokoh pengembara Islam yang terkenal dan berwibawa dengan membawa obor Islam sepanjang pengembarannya.

Pada Ogos 2003 buat pertama kalinya, Institut Kefahaman Islam Malaysia telah berjaya menterjemahkan Rihalah Ibn Battuta ke Bahasa Melayu. Ini semestinya telah melakar satu sejarah abru di Malaysia. Secara tidak langsung ia menjadi naskhah kedua yang lengkap diterjemah selepas naskhah dalam Bahasa Perancis diterjemahkan. 


4.0 Kesimpulan


Perbahasan di atas jelas memperlihatkan ketokohan dan kewibawaan Ibn Battuta dalam bidang sejarah. Walaupun sebahagian tokoh-tokoh orientalis mempertikaikan pengembaraan beliau. Namun hingga masa kini, Kitab Rihalah Ibn Battuta adalah antara kitab yang mendapat perhatian dalam bidang sejarah. Karya Rihalah Ibn Battuta kini telah berusia hampir tujuh kurun. Histografi Islam telah mencapai zaman kemuncaknya dengan kandungan maklumat-maklumat yang bermanfaat dan metod yang bersistematik ini. Pensejarahan beliau meliputi segala aspek kehidupan manusia dari segi pentadbiran, sosioekonomi, sosiobudaya dan sistem kemasyarakatan selama 30 tahun bermula tahun 1325. Pengembaraan beliau telah menjangkau Dunia Timur hingga ke China, mengunjungi daerah-daerah yang luasnya sama dengan luas 44 buah negara zaman moden, dan merentasi kawasan seluas kira-kira 73,000 batu. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan lagi kitab pengembaraan Ibn Battuta menjadi salah satu sumber rujukan utama mengenai sejarah Islam di dunia.


Albinaini di dalam blognya mengulas mengenai The Golden Chersonese.
http://susorgalor.blogspot.my/2011/01/claudius-ptolemy-semenanjung-emas.html

1- Claudius Ptolemy, seorang ahli geografi, ahli astrologi dan ahli kaji bintang Greek yang terkemuka telah menulis, mengolah dan menyusun sebuah buku yang diberi tajuk Geographia yang mengandungi peta-peta bentuk muka empayar Rom sewaktu pemerintahan empayar Roman pada seawal abad kedua. 


2- Seperti mana yang kita tahu melalui buku teks di sekolah-sekolah pada hari ini, Ptolemy telah menamakan semenanjung Malaysia sebagai Golden Chersonese atau pun Aurea Chersonesus yang bermaksud Semenanjung Emas atau Tanah Emas. Melalui Wikipedia,ada dinyatakan disitu bahawa nama Golden Chersonese ini diberikan kerana reputasi Semenanjung Tanah Melayu yang pada waktu itu, sangat terkenal sebagai pembekal emas yang terkenal di seluruh dunia. Ini juga disokong oleh teks-teks Buddha Theravada yang menggelarkan semenanjung tanah melayu sebagai Suvarnabhumi yang juga bermaksud Tanah Emas.
Peta dari Inskripsi Ptolemy
3- Benarkah negara kita yang tercinta ini sebenarnya kaya dengan unsur yang paling mahal didunia itu? Tahukah tuan-tuan dan puan-puan bahawa nama Gunung Ledang pernah disebut didalam kitab Injil Hebrew versi Raja James, Book of Job 28:16 yang dipetik sebagai menyebut:

It cannot be valued with the gold of Ophir, with the precious Onyx or the Sapphire. 

4- Ophir atau Mount Ophir seperti mana yang disebut oleh Book of Jobtersebut adalah merujuk kepada Gunung Ledang. Sehingga ke hari ini Gunung Ledang dikenali dengan nama inggerisnya, Mount Ophir.  Pedagang-pedagang jawa di era Majapahit menggelarkannya sebagai Gunung Ledang yang membawa maksud Gunung Dari Jauh. Para Pedagang - pedagang China yang sering menyusuri Selat Melaka pula menggelarkan gunung ini dengan nama Kim Sua yang bermaksud Gunung Emas. Terdapat beberapa tempat lagi yang turut dikenali sebagai Ophir, malah para sarjana masih lagi berdebat dan bertentang pendapat tentang lokasi sebenar Mount Ophir seperti yang di sebut didalam Injil mereka itu. Melalui perbandingan rekod-rekod purba dengan reputasi Semenanjung Tanah Melayu yang terkenal dengan emas ini, saya rasa Gunung Ledang adalah lokasi yang tepat.

Kerajaan Nabi Sulaiman, didalam mendapatkan bekalan emas telah menghantar kapal-kapal ke Ophir. Namun kapal-kapal ini mengambil masa yang sangat lama untuk kembali. Para sarjana ada membuat perbandingan dan kesimpulan yang direkodkan didalam The London Quaterly Review jilid 86-87 yang diterbitkan pada tahun 1850 yang menyatakan seperti berikut:

In truth, as Solomon's ships, which brought back this gold, were absent so long, there seems to be good reason for believing that his Ophir may have been in the Malayan peninsula or adjacent countries, crystalline and granitic, which still furnish a considerable amount of gold. 

5- William James Perry didalam bukunya The Children of the Sunyang diterbitkan pada tahun 1927 ada merekodkan seperti berikut:

The Malay Peninsula contains numerous remains of antiquity, not in the form of temples, but of ancient mines, the technique of which testifies to a high civilization. 

6- Terdapat begitu banyak loji-loji kuno yang digunakan untuk melombong emas dijumpai berselerak di merata semenanjung. Loji-loji ini didapati menggunakan teknologi-teknologi yang terlalu tinggi sehingga kan menyebabkan para sarjana sukar untuk mempercayai bahawa ianya dibina dan dikendalikan oleh orang melayu sehinggakan ada yang mengatakan bahawa ia dibina oleh bangsa asing yang tidak diketahui. Perry dipetik sebagai menyebut:

In this same region of the Tui valley have been found some stone rings whose use and makers are entirely unknown. neither Malays nor Chinese in Pahang has any reasonable theory of the origin or the possible use of these things and it seems very improbable that the rings could have been made by either of these peoples. There are other signs of an alien people in this state.

Gelung Batu Dari Pahang yang dirujuk oleh Perry diatas.


7- Perry juga memetik catatan Hugh Clifford berkenaan dengan penemuan loji-loji emas kuno ini. Clifford tampak lebih terbuka untuk menerima penemuan-penemuan loji-loji emas kuno ini sebagai jawapan  kepada persoalan kenapa Semenanjung Tanah Melayu digelar sebagai The Golden ChersoneseClifford dipetik sebagai berkata:

The recent discovery in the Malayan state of Pahang, the homes of apes and ivory and peafowl, of immense goldmine of very ancient date and of a workmanship that has no counterpart in southeastern Asia, supplies an ample reason for the designation of Golden so long applied to the Chersonese. Here hidden away under the shade of the primeval forest, are excavations, which must have yielded in their time tons of their precious metal.   

8- Adakah benar Semenanjung Tanah Melayu ini sememangnya kaya dengan emas? Kita sering mendengar cerita dan hikayat Sultan Melakamengutuskan rombongan yang diketuai oleh laksmana tersohor, Hang Tuah, ke Gunung Ledang dengan hasrat untuk menyunting serta memperisterikan seorang Puteri tinggal di gunung tersebut. Puteri cantik jelita yang terkenal dengan nama Puteri Gunung Ledang itu, seperti mana yang kita tahu, telah memberikan beberapa syarat-syarat untuk dipenuhi oleh Sultan sekiranya baginda Sultan ingin memperisterikan dirinya. Salah satu daripada syarat-syarat tersebut adalah sebuah jambatan emas daripada Gunung Ledang ke Istana Melaka.

9- Ada cerita yang mengatakan bahawa baginda Sultan tidak dapat memenuhi kesemua syarat-syarat tersebut dan ada pula yang mengatakan bahawa Sultan dapat memenuhi syarat-syarat tersebut kecuali syarat yang terakhir, yang seperti mana kita dengar, adalah semangkuk darah putera Baginda itu sendiri. Kiranya kita mengambil pendapat yang terkemudian, kita boleh menyimpulkan bahawa Melaka pada masa itu mempunyai jumlah simpanan emas yang banyak.

10- Mengikut catatan Thomas Stamford Raffles didalam The Malay Annals pula mencatatkan bahawa Sultan Mahmud menyanggupi kesemua syarat-syarat tersebut kecuali yang terakhir itu. Stamford Raffles dipetik sebagai mencatatkan seperti berikut:


Then Tun Mamed returned and / descended to the laksamana and Sang Satia, and informed them of what had passed; after which they all returned and related the whole of the old woman's conversation to Sultan Mahmud Shah, who said, " all these requests may be complied with, but the taking of blood is an unpleasant business, and I have no inclination for it at all."

11- Menarik bukan?


No comments:

Post a Comment