Sunday, March 6, 2016

[Puisi] Balada Si Ibu Penyu - Zahari Hasib

Balada Si Ibu Penyu




setelah berhari-hari
dalam pengembaraan yang panjang
maka dari dasar laut maha luas
muncullah ia terdampar
dalam kesunyian sebuah pantai
merangkak dengan amat perlahan dan teliti
supaya tidak diintip orang

dalam tidur nyenyak nelayan kurus
serta letih dibuai mimpi subsidi
rupanya ia terselamat
hanya kerana kesepian laut
dan kicau burung camar saja yang tahu
bahawa ia sedang menetaskan ratusan telur
bersih, putih dan comel

kemudian dengan kakinya
pantas sekali ia mengambus perbendaharaan
lalu jauh di sudut hati
dia pun menyimpan kerinduan amat tulus
untuk pada bulan mana
atau tahun yang mana
ia akan datang sekali lagi sebagai ibu
membelai kemesraan serta kasih sayang
daripada anak-anak yang tentunya sudah dewasa

dan berani bermain dengan ombak
setelah mengucapkan selamat tinggal
dengan amat pilu dan rawan
berjurailah jatuh airmatanya
justeru ia tahu
bertahun-tahun sebelum ini pun
meski begitu sering ia menetaskan
tapi anak-anak tak pernah datang
atau menunggu ketibaannya di pantai

seekor ibu penyu
kini ia kembali
bagi meneruskan kembara ke laut dalam
sama ada:
akan bertemu semula dengan anaknya
atau datang lagi pada tahun depan
sekadar memberi telur percuma
buat nelayan miskin
atau pelancong luar negeri

seekor ibu penyu yang hodoh
akan tetap memberikan budi sepanjang zaman
dan dia tak pernah mengharapkan
terima kasih daripada manusia
yang cantik dan pandai berperang!


Zahari Hasib

Wednesday, March 2, 2016

[INGATAN] Tahajjud

Suatu ketika datang seorang pemuda dan bertanya kepada Imam Hasan Al-Basri rahmatullah alaih:

“Aku telah banyak melakukan maksiat, namun mengapa aku tidak dihukum oleh Allah?”

Imam Hasan Al-Basri rahmatullah alaih bertanya kembali kepada pemuda itu..

“Apakah setiap malam kamu bangun tahajjud?”
.
“Tidak.” ujar pemuda itu..

“Itulah hukuman kamu yang seberat-beratnya.Tiada hukuman yang lebih perit jika Allah Taala telah berpaling darimu.Dia tidak lagi mahu “berbicara” dan “mendengar bicara ” darimu, dibiarkan lena itu panjang padamu.

“Cukuplah Allah Taala menarik nikmat dan kelazatan tahajud dalam dirimu itu sebagai hukuman kepadamu”.



Tuesday, March 1, 2016

[Puisi] Bahasa Laut - Zahari Hasib

Bahasa Laut

ada harinya aku beralun dengan
bahasa ramah, lembut dan tenang
menyamankan sekitar pantai
memberi harapan serta rindu
buat burung camar berkicau dan menyanyi
atau menghiburkan pasangan kekasih
yang sedang asyik bercinta

namun pada hari-hari yang lain
keadaan membentuk laguku menjadi
kasar serta sumbang
lalu kutebarkan gemuruh badai
memecahkan batu dan terumbu karang
membanting kapal dan perahu
maka kuambil nelayan menjadi korban

demikianlah aku sebagai ombak
sering mempunyai bahasa dan rentak
yang tidak terkawal
banyak bergantung pada tingkah laku alam
cuaca serta sentuhan angin

tetapi melalui ungkapan paling mudah
serta dapat difahami oleh semua orang
benarkanlah aku memohon
maaf kepadamu nelayan:
justeru seperti aku memberi ikan sebagai
punca rezekimu
lalu sekaligus aku jugalah
menjadi pangkalan tempat matimu.

Zahari Hasib

[Autisma] Hari Sukan



Hari ini hari sukan.
Dan aku perlu juga ke klinik untuk check kuning (jaundice).

Balik klinik anak berak pula, ajak mandi.
Alang-lang sudah dalam bilik air, maka terus basuh baju sekali.
Pukul 9.50 cikgu telefon mengatakan acara sudah selesai.
Ambil dia depan sekolah, menangis sebab abah lambat dan tidak rakamkan acara lariannya.
Tidak dapat hadiah.

Aku cuba tukarkan kenangan dengan acara makan ABC tetapi kedai belum beroperasi pada jam 10 pagi.

Nasi kandar pun belum sediakan ABC.

Akhirnya makan roti canai sahaja.

Kita mungkin menyangka bahawa anak-anak akan lupakan hal-hal yang kita anggap remeh sahaja. Namun sebenarnya tidak begitu. Mungkin tidak begitu pada kebanyakan hal.